The Verbatim Report Of The Emergency Motion Debate On Pope Benedict XVI in Malaysian Parliament Dated 19th September 2006

Thursday, 21-09-2006


USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH
PERATURAN MESYUARAT 18(1)

KENYATAAN POPE BENEDICT MENCETUSKAN KEMARAHAN UMAT ISLAM

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Ahli Yang Berhormat. Sekarang masa telah pun pukul 4.30 petang dan menurut keputusan yang telah pun dibuat pada pagi tadi, satu usul di bawah peraturan mesyuarat 18(1) telah dibenarkan dibahaskan pada petang ini. Saya sekarang memulakan perbahasan usul itu. Seperti yang telah pun diputuskan tadi, pihak pencadang akan diberi masa 30 minit dan pihak kerajaan juga 30 minit. Yang Berhormat bagi Kubang Kerian sila kemukakan.

4.31ptg
Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Bismillahir Rahmannir Rahim. Tuan Yang di-Pertua. Apabila kita membincangkan tentang Usul yang saya kemukakan pada pagi tadi, saya mengucapkan terima kasih di atas Tuan Yang di-Pertua, yang telah pun memberikan keizinan untuk usul ini dibahas, dan saya mengharapkan hasil daripada perbahasan usul ini akan menatijahkan sesuatu implikasi yang sihat dan subur di dalam kita memberikan sumbangan ke arah keharmonian kehidupan beragama, khususnya dalam negara kita.

Izinkan saya membaca satu firman Allah s.w.t… [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Telah dilaknat Bani Israel yang kafir di kalangan Bani Israel melalui lisan Nabi Daud dan juga Isa anak Mariam.

Tuan Yang di-Pertua, Islam sangat menghormati segala pandangan-pandangan dan segala ajaran-ajaran yang mengajar manusia keseluruhannya kepada satu kebaikan sejagat. Nilai universal yang ada pada semua agama adalah merupakan inti pati daripada ajaran yang mahu umatnya dan penganutnya menghormati setiap agama, budaya dan ajaran yang diajar oleh agama masing-masing. Maka oleh itu kita melihat, penghormatan Islam kepada Jesus ataupun Nabi Isa alaihissalam ini, adalah satu yang diberikan pengiktirafan. Dalam ajaran Islam, bukan sekadar diajar untuk menghormati Nabi Isa alaihissalam, tetapi Islam mewajibkan diimani. Berdasarkan kepada ajaran inilah, pada penganut Islam sendiri yang tidak menghormati dan beriman, apatah lagi mencela Nabi Isa alaihissalam boleh menjadi murtad…, nauzubillah. Beginilah ajaran Islam kepada nabi-nabi alaihi wassalam, yang diperutuskan oleh Allah s.w.t.

Maka dengan itu, Islam juga menghormati kepada mana-mana kumpulan dan kepada mana-mana individu. Sebagai contoh, Ghautama Buddha yang mengajar penganut-penganut agama Buddha kepada satu kebaikan dalam kehidupan. Islam menghormati Kung Fu Tze ataupun Lo Tze, yang menjadi anutan sebahagian daripada penduduk dunia ini. Maka dengan sebab itulah Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita kesalkan di atas pernyataan terbuka Pope Benedict baru-baru ini, tentang mengatakan Islam, Nabi Muhammad s.a.w mengajar apa yang dikatakan, evil and inhuman, jahat dan zalim, adalah merupakan suatu ucapan yang sangat menyentuh dan sangat berbahaya terhadap hubungan keharmonian antara penganut agama Islam dan agama Kristian yang sepatutnya Pope Benedict ini mengambil contoh kepada apa yang telah dibuat satu track record, yang boleh kita berikan satu tabik hormat kepada Pope John Paul, yang telah terbukti 25 tahun membina jambatan, membina satu hubungan yang baik, menggalakkan dan menyahut cabaran dialog antara tamadun, antara agama yang sepatutnya diteruskan oleh Pope Benedict ini, yang bukannya mengambil satu buku yang tidak boleh dipertanggungjawabkan akan nilai akademiknya dan nilai intelektualnya, dan menjadikan ianya satu khutbah umum yang diucapkan dalam suatu ucapan yang terbuka. Dan ini sudah tentu akan menjadikan suasana keharmonian ini dalam keadaan yang sangat tergugat.

Tuan Yang di-Pertua, Mursyidul Am Pas, Dato’ Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dalam ucapannya dua hari yang lalu, apabila mengulas tentang ucapan Pope Benedict ini memperingatkan bahawa, orang-orang Kristian khususnya, tidak seharusnya menganggap orang-orang Islam sebagai musuh utama mereka. Orang-orang Kristian yang memakai lambang salib pada hari ini, cross di dada-dada mereka sebagai lambang mereka beragama Kristian, perlu melihat dari segi sejarahnya, kenapa mereka mengenakan lambang salib itu?

Lambang salib itu adalah merupakan suatu perlambangan di mana Jesus ataupun Nabi Isa, disalib dan dibunuh, diseksa. Persoalannya, siapakah yang membunuh Jesus mengikut ajaran Kristian. Yang membunuh, yang menyalib Jesus itu adalah orang Yahudi. Orang Yahudi yang membunuh, yang menyeksa Jesus di palang salib itu dan menjadikan satu memori, satu kenangan yang diagungkan oleh penganut Kristian, menjadi lambang di gereja-gereja mereka dan mereka pakai di dada-dada mereka. Orang Yahudilah yang menyeksa Nabi Isa alaihissalam, bukan orang Islam.

Nabi Muhammad s.a.w lahir beratus tahun kemudian pada kelahiran Jesus. Bukan orang Islam yang menyakiti penganut Kristian. Bukan orang Islam yang menyakiti Nabi Isa alaihissalam, orang Yahudi, yang sepatutnya pada hari ini orang Islam dan Kristian mesti bersatu melawan Yahudi laknatullah.

Tuan Yang di-Pertua, yang pentingnya bila kita membahaskan usul ini adalah, tiba-tiba sahaja Bush menjadi jurucakap kepada Pope Benedict. Dalam kenyataannya baru-baru ini, yang kita minta supaya dengan segala hormatnya, bahawa Pope tidak terjebak di dalam suatu yang mungkin menjadi konspirasi, yang ditaja oleh Bush untuk menghalalkan tindakannya terhadap kezaliman kepada umat Islam. He must not parroted the message of the current American President.

Dalam hujah saya yang berdasarkan kepada fakta sejarah, Tuan Yang di-Pertua, kita perlu menyaksikan bagaimana dalam era apa yang dikatakan dark ages, dalam era renaissance sebagai contoh, apabila berlakunya pertelingkahan di antara Caesar and God yang dikatakan, yang menjadi asas kepada amalan sekularisme. Terjadinya pertentangan di Eropah di antara pemerintah dan gereja-gereja. Maka, sejarah telah menulis dalam banyak buku, di library-library yang menyaksikan bagaimana, siapakah yang membunuh para paderi? Siapakah yang membakar para-para paderi? Siapakah yang meruntuhkan gereja-gereja di zaman renaissance di Eropah? Bukan umat Islam.

Tidak ada hujah, tidak ada satu buku yang boleh saya baca dalam zaman dark ages dan zaman renaissance, yang menyaksikan ini perbuatan orang Islam. Ini perbuatan terrorist yang tidak ada nama Islam pada ketika itu. Jadi di atas hujah itu, bagaimana Pope Benedict ini boleh menyamakan Islam sebagai evil and inhuman. Saya minta satu pertanggungjawaban.

Saya boleh terima kalau ada hujah akademik. Saya boleh terima, kalau ada buku-buku intelektual yang dirujuk oleh para-para sekular, para-para scholar, dan para-para penulis tesis dalam tesis akademik mereka. Saya boleh terima dengan dada terbuka, kalau ada hujah yang begini, yang menyatakan ianya boleh menyifatkan bahawa ajaran Islam ini boleh dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai evil and inhuman.

Oleh itu Tuan Yang di-Pertua, siapa Bush yang ingin bercakap bagi pihak Pope? Siapa dia yang tiba-tiba menjadi jurucakap Bush, yang menjadi jurucakap Pope? Saya bimbang, adakah ini suatu….

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Syaitan yang besar.

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: ...suatu perancangan Amerika untuk melibatkan suatu pertembungan antara tamadun? Adakah benar ini perancangan daripada CIA selepas jatuhnya Tembok Berlin? Setelah tamatnya penguasaan Amerika terhadap Soviet Union? Bila tidak ada lagi dwi power pada unipolar, maka diupah penulis seperti Samuel P. Huntington untuk menulis buku, The Article yang bertajuk “The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order”? Adakah ini perancangan Amerika Syarikat? Perancangan CIA yang ingin melagakan orang Islam dan orang Kristian?

Setakat ini adakah ini perkara yang sedang berlaku? Adakah Amerika sudah mengheret Vatican City untuk bermusuh dengan Islam? Adakah Bush bertanggungjawab untuk mengheret kita ke kancah peperangan dan dia menjadi kuasa yang akan membekalkan senjata untuk kita berperang?

Penting bagi Parlimen Malaysia yang mengamalkan suatu kehidupan harmoni antara agama Islam dan Kristian dalam negara kita dan saya rasa saya banyak kawan dan jiran-jiran yang beragama Kristian yang bermazhab Katolik, mereka tidak berkata begitu. Saya mengharapkan penganut-penganut mazhab Kristian Katolik, this associate dengan apa yang dinyatakan oleh Pope Benedict yang mengatakan, Nabi Muhammad s.a.w dan juga Islam itu sebagai evil and inhuman.

Untuk memberikan peluang kepada rakan-rakan…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Adakah Yang Berhormat hendak berikan kepada rakan-rakan Yang Berhormat?

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Ya. Jadi saya minta supaya saya berhenti dan terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ya, baik. Yang Berhormat bagi Permatang Pauh. Dalam setengah jam saya harap ini dapat selesaikan ucapan, ya? Dan pihak kerajaan, sesiapa yang hendak berucap atau jawab saya akan beri peluang. Silakan.

4.42 ptg.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya mengambil bahagian membahaskan usul tergempar ini. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

KeADILan sangat menyesali ucapan Pope Benedict XVI di mana beliau memetik gambaran yang diberikan oleh seorang Maharaja Byzantine pada zaman dahulu yang ternyata tidak tepat dan buta sejarah lantas telah menghina Islam. Di kala situasi global yang tegang dengan tindakan keterlaluan oleh pengaruh unsur pelampau moden dan prasangka terhadap Islam, kenyataan Pope ini hanya mengeruhkan keadaan di antara penganut Islam dan Kristian. Kekeruhan tersebut harus ditangani serta-merta. Pihak gereja harus lebih peka terhadap sensitiviti umat Islam dan hendaklah menghentikan sebarang bentuk tindakan mahupun kenyataan yang boleh mewujudkan salah faham di antara kalangan masyarakat dunia dan di kalangan mereka sendiri.

Petikan yang diambil Pope Benedict XVl ini adalah dari teks perbualan antara Emperor Byzantine, Manuel II dan seorang Parsi menegaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak membawa pembaharuan dalam agama malah bersifat jahat dan disebarkan melalui pedang.

Kami menekankan bahawa penganut Islam terdiri dari pelbagai bangsa diterima tanpa paksaan dan diamalkan secara aman. Harus ditegaskan bahawa Islam tidak tersebar melalui pedang tetapi menerusi komitmennya terhadap kebebasan, toleransi dan nilai-nilai akhlak yang tinggi seperti yang disebarkan oleh saudagar-saudagar Arab ke kepulauan Melayu hingga ke Xin Jiang China (China) dan ke Volga Burga di Rusia. Malah apa yang terjadi di Volga Burga, satu daerah di timur Moscow yang ditawan oleh askar Monggol pada kurun ke-13 boleh diambil sebagai contoh yang cukup konkrit. Rakyat tempatan ketika itu yang merupakan orang Eropah Utara memeluk agama Islam pada kurun ke-7 melalui saudagar Arab dan mengamalkan Islam secara aman. Tetapi keamanan tidak berkekalan dan negara itu ditawan oleh askar-askar Monggol yang zalim, yang tidak berkepercayaan. Melalui sebaran nilai-nilai murni dan perilaku yang baik, orang Eropah Volga Burga pula yang mempengaruhi askar-askar Monggol memeluk agama Islam dan bukan di sebaliknya.

Jika difikirkan secara rasional sebagai bukti susulan, di mana letaknya kebenaran teks ucapan tersebut jika sebahagian dari penduduk di Timur Tengah berketurunan Arab masih bebas berpegang dengan ajaran Kristian. Jika diimbau dengan teliti fakta sejarah, jelas kenyataan yang diucapkan oleh Emperor Byzantine ketika itu tidak tepat dan tidak bersandarkan anggapan objektif. Agak tidak wajar jika autoriti tertinggi Katolik yang disanjung oleh pengikut-pengikutnya mengangkat martabat petikan ucapan tersebut. Ucapan Pope Benedict XVl hanya menimbulkan kekeliruan yang serius dan tidak konsisten dengan realiti dahulu atau sekarang.

Meskipun kami menerima baik bahawa penghinaan tersebut tidak mewakili pandangan beliau dan ucapan tersebut merupakan satu kesilapan. Disebabkan ucapan ini boleh digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan hubungan antara Islam dan Kristian, kami dengan penuh harapan mendesak agar Pope Benedict XVl mengeluarkan kenyataan yang benar dan jelas serta menarik balik ucapan yang di luar fakta tersebut. Umat Islam menghormati kepercayaan orang-orang Kristian, sama ada yang Katolik ataupun Protestan dan kami amat menggalakkan usaha mendiang Pope John Paul II untuk berdialog dan bermuafakat antara agama. Kami mengharapkan usaha-usaha ini diteruskan agar dapat mewujudkan kefahaman antara satu sama lain. Dialog hendaklah dijalankan secara profesional, berhemah dan bertanggungjawab dan mengambil kira sensitiviti agama.

Pada masa yang sama kami meminta umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk berlapang dada dengan kepercayaan-kepercayaan yang lain sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan sunah Rasullah s.a.w. Kami merayu agar seluruh rakyat Malaysia mengutamakan keamanan dengan mengelak dari melakukan sebarang bentuk hasutan yang akan mengakibatkan pertelingkahan antara agama dan kaum di negara kita. Sifat masyarakat majmuk kita dengan pelbagai bangsa dan agama sepatutnya dilihat sebagai satu kekuatan bagi mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam dunia yang semakin berpecah belah hari ini. Marilah kita membina negara kita, Malaysia yang adil, aman, makmur dan sejahtera. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi Seputeh.

4.48 ptg.
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya menyertai perbahasan usul tergempar yang dibawa oleh Yang Berhormat bagi Kubang Kerian ini dengan hati yang berat dan kesal. Saya merasa kesal kerana kita membahas satu isu yang tidak merupakan tujuan sebenar Pope Benedict XVl. Selain itu kita juga membahas satu isu yang telah dipohon maaf oleh Vatican dan Pope Benedict XVl sebanyak dua kali selepas petikannya dalam ucapan teks itu disalahfahamkan oleh media dan pihak-pihak tertentu.

Sebelum kita membahaskan ucapan Pope Benedict XVl, kita mesti baca teks ucapannya yang sebenar dan juga kita mesti faham ucapan Pope Benedict XVl itu…

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Yang Berhormat bagi Seputeh tidak payah cakaplah, Yang Berhormat.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: ...yang menimbulkan kontroversi ini sebenarnya disampaikan dalam satu forum di Universiti Regensburg, Jerman. Pope Benedict XVl merupakan seorang pensyarah teologi ataupun theologian. Beliau sebenarnya dijemput untuk memberi kuliah akademik yang bertema, “Faith, Reason and the University Memories and Reflections” ataupun dalam bahasa Malaysia, “Iman, Akal dan Universiti” di universiti lama yang beliau pernah berkhidmat.

Tesis kuliah akademik ini ialah akal mempunyai peranan yang penting dalam iman dengan itu teologi mempunyai peranan yang penting dalam universiti. Dalam bahasa Inggeris ia berbunyi, “Reason has an important role in faith theology has an important role in the university”. Dalam kuliah Pope Benedict XVI beliau memetik satu dialog di antara Byzantine Emperor, Manuel II dan seorang sarjana Parsi atas subjek agama Kristian dan Islam.

Pope Benedict XVI hanya memetik apa yang muncul dalam dialog tersebut yang berkitar pada isu akidah. Sekiranya kita baca ucapan kuliah tersebut secara teliti, beliau sebenarnya tidak menyokong pandangan Emperor Manuel II atas Islam, tetapi beliau hanya menggunakan dialog ini sebagai asas atau pun contoh untuk hujah-hujah berkenaan peranan akal dalam agama dan iman. Dengan kata lain, tesis kuliah Pope Benedict XVI tersebut langsung tidak bertujuan untuk merendahkan ajaran Islam dan juga jihad. Ucapannya sebenarnya telah disalah tafsirkan oleh media dan pihak-pihak tertentu.

Setelah kuliah akademik Pope Benedict XVI disalahfahamkan, pada 16 September 2006, the Secretary of State of His Holiness di Vatican telah mengeluarkan kenyataan yang menerangkan ucapan kuliah Pope Benedict XVI dan memohon maaf bagi pihak Pope.

Kenyataan Vatican tersebut juga mengatakan penghormatan Gereja Katolik terhadap agama Islam. Kenyataan itu berbunyi dengan izin “The position of the Pope concerning Islam is unequivocally that expressed by the conciliar document Nostra Aetate” iaitu “The church regards with esteem also the Muslims. They adore the one God, living and subsisting in Himself; merciful and all-powerful, the Creator of heaven and earth…” dan sebagainya.

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: [Bangun]
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Kenyataan Vatican itu juga menyebut bahawa Pope Benedict XVI amat komited pada dialog di antara agama dan antara budaya. Dalam pertemuan di antara Pope Benedict XVI

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat… Yang Berhormat ….Tangga Batu.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: ...dengan komuniti Muslim… Saya akan gulung. ... di Cologne di Negeri Jerman pada 20 Ogos 2005,...

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Penjelasan boleh, Yang Berhormat bagi Seputeh.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Tidak ada masa, biar saya habiskan.

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Saya satu saja. Mungkin…

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Biar saya habiskan ini…

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Mungkin…mungkin Seputeh boleh jelaskan. Kalau…

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: 20 Ogos 2005, dialog di antara…

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: ...Pope tidak kata begitu, macam mana, apa pasal Pope minta maaf pulak?

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Beliau menyifatkan dialog…

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Cuba jawab itu.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: ...di antara Kristian dan Muslim…

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Kalau dia tidak kata begitu, kenapa dia minta maaf dua kali, Pope Benedict XVI ni.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: ...tidak boleh dielakkan. Beliau berkata, “The lessons of the past must help us to avoid repeating the same mistake.

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Yang Berhormat bagi Seputeh boleh?

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: We must seek paths of reconciliation and learn to live with respect for each other’s identity.” Sehari kemudian, pada 17 September….

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Seputeh…Seputeh….beri penjelasan…

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Biar saya habiskan ini, nanti saya layan ya…

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: You layan ya, jangan tak layan, ok.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Biar saya gulung kan ini. Sehari kemudian pada 17 September 2006, Pope Benedict XVI mengeluarkan satu kenyataan lagi dan meminta maaf sekali lagi. Kenyataannya berbunyi dengan izin, “At this time, I wish also to add that I am deeply sorry for the reactions in some countries to a few passages of my address at the University of Regensburg, which were considered offensive to the sensibility of Muslims. These in fact were a quotation from a medieval text, which do not in any way express my personnel thought.” Ini adalah kali pertama dalam sejarah Gereja Katholik di mana seorang Pope meminta maaf atas kenyataannya sendiri.

Tuan Yang di-Pertua, saya berharap kesalah fahaman yang wujud di antara penganut Kristian dan Islam akan berakhir dengan dua kenyataan memohon maaf daripada pihak Vatican dan Pope Benedict XVI. Saya juga berharap kedua-dua komuniti agama ini akan mengadakan lebih dialog pada masa yang akan datang, untuk mengelakkan kesalah fahaman seperti ini berulang lagi. Dengan itu saya juga berharap seruan pelbagai pihak kepada kerajaan untuk menubuhkan “Inter-faith Council” yang bertujuan untuk memupuk persefahaman di antara agama yang berlainan juga akan disahut dan dilaksanakan oleh kerajaan. Sekian, Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi Pasir Mas, satu minit saja Yang Berhormat ya.

Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Assalamualaikum w.b.t. Ya, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya baca ayat Al-Quran [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Ini asas dalam Islam iaitu Al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w. mengajak kepada suatu permuafakatan iaitu satu kalimah yang sama di antara agama-agama Samawi iaitu beriman kepada Allah s.w.t. Daripada itu bahawa Islam saya membuat kenyataan pada petang ini menyokong sahabat saya daripada Kubang Kerian bahawa dalam Islam ini ada Al-Quran.

Di dalam Al-Quran mengajar supaya kita menghormati Nabi-nabi, Nabi Isa, Nabi Musa dan seluruh Nabi. Wirid di dalam Al-Quran dalam sembahyang, selepas daripada kita sembahyang diajar, Nabi Muhammad s.a.w. mengajar kita membaca wirid selepas daripada sembahyang [Membaca sepotong ayat Al-Quran], ayat yang terakhir [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “....kami beriman.”, kata Nabi Muhammad s.a.w. “Kami beriman dengan Nabi-nabi sebelum daripada kami, dengan kitab-kitab sebelum daripada kami…”, dengan Nabi-nabinya termasuk Nabi Musa, Nabi Isa dan termasuk seluruh Nabi-nabi, diajar kepada orang Islam supaya beriman, dan bukan sahaja beriman, sayang pada seluruh Nabi. Kami orang Islam tidak pernah, dilarang, jangan sekali-kali kami benci Nabi-nabi, malah disuruh kami sayang, walaupun apa sahaja Nabi, Nabi Musa, Nabis Isa dan kesemua Nabi, diajar begitu kepada orang Islam.

Yang kedua pula, bagaimana ucapan Baba Shanudah. Baba Shanudah ini iaitu Pope, Pope Kristian di Mesir dalam bahasanya disebut [Membaca petikan dalam bahasa Arab] disebut dalam bahasa yang mudah iaitu “Kami penduduk-penduduk Mesir semuanya, Islam dan Kristian merasa nikmat dan bahagia di waktu Kerajaan Mesir memerintah kami dengan Islam, tetapi bila mana Kerajaan Mesir mengimport hukum-hukum lain, selain daripada hukum Islam, maka di waktu itu kami merasa keluh kesah dan kami merasa tidak senang.” Berbeza di antara pope di Mesir dengan pope yang berada di sana, di Vatican.

Oleh hal yang demikian, saya merasakan bahawa adalah terlalu silap dan tidak wajar bagi pemegang amanah agama di atas muka bumi ini dengan menuduh Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan di dalam Islam mengajar kita supaya kita kasih kepada Nabi Isa a.s. mengaku dengan Kitabnya, mengaku dengan dakwahnya, mengaku dengan seruannya, dan tidak pernah Nabi Muhammad s.a.w. mengajar umatnya termasuk kita pada hari ini supaya kita tidak menyayangi Nabi-nabi lain.

Salahuddin al-Ayubi di waktu berlaku peperangan abad yang ke 11, 12, 13 di Palestin sewaktu beliau menawan Richard di waktu itu, dan di waktu Richard sedang sakit bagaimana beliau menghantar seorang doktor daripada kalangan orang Kristian mengubati tawanan beliau di waktu itu, pada hal kalau beliau tidak menghantar doktor pun tidak jadi masalah, kerana tawanan perang. Tetapi Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik selain daripada orang Islam.

Khalifah Omar bin ibnu Aziz di waktu berlakunya peperangan di antara orang-orang Kristian di Utara dan di Selatan, di waktu Khalifah Omar ibnu Aziz, khalifah Islam yang ke-5, menghantar askar-askar Islam sebagai askar pengaman kepada umat Kristian yang berada di Selatan di waktu itu, sehingga setelah beberapa tahun mereka berada di Selatan, setelah keamanan benar-benar wujud di Selatan, tentera Khalifah Omar ibnu Aziz hendak kembali ke negara asal mereka, di waktu itu tentera Kristian memohon kepada Khalifah Islam supaya diperpanjang lagi tentera-tentera pengaman yang di hantar oleh Khalifah Omar ibnu Aziz.

Ini menampakkan kepada kita bahawa bagaimana Islam ini sebagai agama untuk seluruh manusia, bukannya untuk orang Islam, untuk orang Arab, tapi seluruh manusia maka keputusan ataupun suatu result yang kita sebutkan pada pagi ini adalah ucapan atau kenyataan yang disebut oleh Benedict tadi, merupakan ‘menyimbah besen di tengah-tengah minyak yang sedang menggelegak’.
Kita tengok kepada peperangan yang berlaku baru-baru ini di Lebanon, bagaimana orang Kristian menyokong tentera-tentera daripada Hizbullah, orang-orang Kristian menyokong tentera daripada Hizbullah dan Hizbullah juga waktu itu menyambut apa yang disebut ataupun apa yang dibantu oleh tentera Kristian.

Jadi adalah tidak munasabah kepada pemegang agama sedangkan mereka sepatutnya menjadi pengaman dunia. Oleh yang demikian, kita di Dewan yang mulia ini, telah mengambil satu sikap dan satu maqam atau kedudukan yang jelas bahawa kenyataan-kenyataan yang boleh memporak-perandakan umat seluruh dunia ini mesti kita tentang, mesti kita lawan habis-habisan. Sekian, itulah ucapan saya, saya ucapkan Assalamualaikum.

Datuk Haji Md. Alwi bin Che Ahmad [Ketereh]: Terima kasih, Assalamualaikum w.b.t. Saya juga ingin turut sedikit memberikan pandangan dan berucap mengenai tajuk ini. Pope mengikut kepercayaan orang Kristian, adalah merupakan wakil Tuhan, wakil Tuhannya kepada dunia sebab itulah pope adalah tempat yang tertinggi untuk memohon ampun bagi orang Kristian.

Apakah wajar bagi seorang wakil Tuhan untuk membuat quotation. Kalaulah kata Yang Berhormat bagi Seputeh itu benar, quotation yang kemudiannya menghiris perasaan agama yang lain. Itu persoalannya, sama ia berupa quotation, sama ada dia bersetuju ataupun tidak dengan quotation itu tetapi beliau telah memetik daripada puluhan ribu petikan, ucapan maharaja dan agama-agama lain, kenapa diambil petikan yang menghiris perasaan orang Islam oleh seorang wakil Tuhan.

Kalau tidak, dengan tujuan untuk mencurah minyak ke atas api yang sedang membakar. Itu persoalan yang kita bahaskan di sini dan orang Islam sangat sensitif dengan perkara ini. Saya tidak percaya Yang Berhormat bagi Seputeh adalah wakil kepada Pope untuk berucap di sini hari ini. Saya juga tidak percaya bahawa Yang Berhormat bagi Seputeh hari ini adalah merupakan wakil orang Kristian untuk mengatakan kita tidak harus marah. Kita mesti marah. Tetapi soalnya marah bagaimana?

Kenyataan-kenyataan sebegini sebenarnya kita juga boleh berbuat perkara yang sama. Dalam sebuah buku yang ditulis oleh John A. Tailor, seorang pensyarah di sebuah universiti terkenal di Britain. Dia adalah seorang pensyarah agama Islam tetapi beliau bukan beragama Islam. Bukunya berjodol ‘The Great Religion of the World’. Beliau mengatakan bahawa seluruh agama di dunia ini Kristian, Yahudi dan agama-agama Tuhan selain daripada Islam adalah merupakan mitos.

Tidakkah ini menghiris perasaan orang Kristian dan Yahudi? Mengatakan bahawa agama selain daripada Islam adalah mitos. Lalu orang bertanya kepadanya kenapa kamu tidak beragama Islam sedangkan kamu tahu bahawa Islam adalah agama yang benar kerana katanya, jawabnya adalah kerana ‘I follow my ancestors believe’ saya ikut keturunan bapa saya.

Ertinya seorang pensyarah yang bukan Islam yang mengajar agama Islam di universiti terkenal di dunia mengatakan bahawa agama Kristian dan agama-agama Yahudi adalah merupakan mitos. Kenapa dia berkata demikian? Kerana katanya Kitab Taurat, Kitab Injil sebenarnya tidak ada yang original. Ianya gospel sama sahaja dengan hadis yang diceritakan oleh orang-orang tidak bukunya yang sebenar sedangkan Al-Quran adalah bukunya yang sebenar, ayatnya yang sebenar yang dipelihara daripada dahulu sampai sekarang.

Saya tidak hendak membahaskan soal John A. Tailor tetapi apa yang saya hendak katakan di sini ialah kita Ahli Parlimen memandang berat kepada perkataan yang sedemikian. Orang Islam tidak boleh membiarkan agamanya dihina. Dalam Islam [Membaca sepotong ayat Al-Quran] maksudnya Islam itu agamanya adakah kedudukannya dalam tinggi dan tidak ada yang lain selain daripada yang tinggi. Ketinggian inilah yang kita pertahankan.

Tetapi dalam waktu yang sama, kita tidak menghina agama yang lain. Dalam pemerintah Islam semenjak daripada dahulu tidak pernah ada prosecution dengan izin kepada orang bukan Islam malah semasa kerajaan Spain, kerajaan Islam Spain kalah kemudiannya diperintah oleh kerajaan Kristian, orang Yahudi yang berada di Spain lari ke Maghribi, lari ke Tunisia sehingga hari ini pun orang-orang Yahudi itu masih ada di sana kerana ingin berlindung di bawah kerajaan Islam, lari daripada kezaliman kerajaan Kristian, itu Yahudi.

Yahudi lari daripada kerajaan Kristian ke sebuah negara Islam di utara Afrika. Itu sejarah yang menyaksikan demikian. Begitulah juga dengan pemerintah-pemerintah di Constantinople, di Istanbul dan di Middle East (Timur Tengah) semasa Salahuddin Al-Ayubi yang disebut oleh Yang Berhormat bagi Pasir Mas tadi. Bagaimana Salahuddin Al-Ayubi telah menunjukkan kepada King Richard The Lion Heart bagaimana orang Islam boleh membantu seorang musuhnya yang telah kalah berperang untuk menghantar doktor peribadinya kepada musuhnya yang telah membunuh rakyatnya sendiri. Ini menunjukkan budi pekerti daripada Islam.

Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: Tambahan.

Datuk Haji Md. Alwi bin Che Ahmad [Ketereh]: Sedikit, Yang Berhormat boleh berucap. Saya memohon kepada Vatican City yang merupakan institusi yang paling tinggi dalam hierarki Kristian, janganlah ikut telunjuk orang lain. Buatlah keputusan sebagaimana yang dikehendaki oleh agamanya dan pada kita, pada Parlimen ini, nothing less then full apology. Nothing less then full apology.

Walau pun ia merupakan quotation sebab apologise sahaja pada saya tidak cukup. Yang apologise juga orang lain. Sebenarnya bukan Pope, kemudiannya barulah dia sendiri selepas dia menyedari bahawa dia telah tersilap. Ini adalah sebagai ingatan kepada kita.
Akhirnya saya hendak menyebutkan bahawa janganlah lepas kata sesuatu, kemudian minta maaf, kata sesuatu minta maaf.

Ingatlah orang Islam hidupnya di dunia ini tidaklah kerana lain kecuali kerana agamanya. Seluruh Islam di dunia ini hidupnya bukan untuk dunia, hidupnya adalah untuk akhirat hanya melalui jalan dunia. Ertinya mati tidak pernah menjadi satu ketakutan kepada umat Islam di dunia pada hari ini baik apa parti, baik apa negara yang dianuti. Saya menyokong terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng] : Beluran. Saya harap kalau hendak beri peluang untuk saya memberi peluang kepada semua, ringkaskan kerana Setiausaha Parlimen perlukan 15 minit untuk menggulung. Silakan Beluran.

1705 ptg
Datuk Ronald Kiandee [Beluran]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kalau masyarakat Islam terguris dengan kenyataan Pope, ramai juga masyarakat Kristian yang terasa sama. Kalau ramai masyarakat Islam atau penganut agama Islam berasa marah terhadap kenyataan Pope, ramai juga yang beragama Kristian marah terhadap kenyataan ini.

Tuan Yang di-Pertua, kenyataan ini pertama-tamanya tidak harus keluar daripada seorang pendakwah Kristian yang agung yang memperjuang tentang kedamaian dunia, tentang kehormatan terhadap agama lain dan ia tidak harus apa juga alasan yang dikemukakan oleh Pope yang mengatakan bahawa kenyataannya disalah tafsir ia harus bertanggungjawab terhadap penyalahan tafsirannya disebabkan quotationnya yang salah terhadap agama lain [Tepuk]

Saya tidak bersetuju bahawa pendakwah Kristian yang agung yang mempunyai perasaan begini terhadap agama lain dalam ketika dunia berbincang tentang kedamaian dalam ketika dunia berbincang terhadap interfaith, dialog, perbincangan antara agama tetapi dalam perbincangan dalam menentukan kejayaan kita terhadap perkara-perkara perdamaian ini kita tidak harus ada rasa sangsi terhadap agama yang lain.

Saya berpendapat Tuan Yang di-Pertua, bahawa Pope tidak harus mengeluarkan kenyataan walau pun ia berkata ia telah salah tafsirkan oleh media.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Betul.

Datuk Ronald Kiandee [Beluran]: Dalam keadaan itu Pope harus menarik balik kenyataan ini, bertanggungjawab terhadap kenyataan ini apatah lagi masyarakat Islam dunia marah kepada kenyataannya, harus menarik balik kenyataan ini dan bertanggungjawab agar masyarakat dunia ini akan terus aman damai seperti yang ada sekarang ini. Terima kasih.

5.07 ptg
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Pope Benedict ini bukan seorang yang bodoh. Dia seorang yang berpelajaran. Yang anehnya dia berlakon seolah-olah dia bodoh. Seolah-olah dia cuma membaca teks petikan dan dia tidak ada perasaan langsung menyinggung hati orang lain. Vatican City harus sedar kenyataan Pope Benedict ini mencetuskan huru-hara antara agama Islam dan Kristian di merata-rata. Gereja dibakar, masjid dimusnah, hubungan antara Islam dan Kristian menjadi tegang. Ini kenyataan seorang yang gila pada saya.

Sebagai seorang yang ada deklarasi, mewakili Tuhan bagi agama Kristian, dia harus sedar bahawa dunia kita seperti time bomb, meletup apabila keadaan dia tiba dan dia cuba memetik time bomb tersebut. Dia sedar bahawa umat Islam hari ini sentiasa diintai kononnya terrorist, kononnya pengganas. Ditambah dengan kenyataan yang sebegini oleh seorang ketua agama yang tidak tahu agama orang lain yang terlalu cetek pandangan dia terhadap agama orang lain dan tiba-tiba dia kata dia menyesal.

Kita tidak mahu mendengar kata-kata sesalan. Kita mahu dia memohon maaf secara terbuka. Jangan ada proxy. Yang Berhormat bagi Seputeh pun bukan proxy dia. Jangan cuba menidakkan kenyataan.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Betul.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Hati orang
Islam marah.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Minta penjelasan.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Sudahlah Seputeh.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Minta penjelasan.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Duduk Seputeh.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Hati orang Islam
selalu sakit apabila diberi kenyataan oleh seorang ketua agama yang tidak bertamadun ini.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Saya hendak tanya Yang Berhormat ….

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Jangan bagi, jangan bagi tak ada masa.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Saya ingin bertanya Yang Berhormat …

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Saya tidak bagi jalan.

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Dia tak bagi orang,
hendak suruh orang bagi dia, apa?

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Menyampuk]

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Saya tidak bagi jalan.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Duduk. Duduk.
Duduk.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Tuan Yang di-Pertua, ......

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Kalau kita hendak berucap tahu, baca dahulu baru berucap…....

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tak payah. Tak payah.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Jangan kacau. Duduklah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng] : Yang Berhormat, dia tidak bagi.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Awak sudah cakaplah Seputeh.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Duduklah, duduk, duduk.

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Jangan bagi, orang hendak dia tak bagi.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Tuan Yang di-Pertua, saya sehati dengan rakan-rakan yang telah menyatakan bantahan bahawa kita mengutuk, kita meminta Pope Benedict ini memohon maaf secara terbuka, barulah keadaan itu mungkin boleh menghilangkan kemarahan masyarakat umat Islam di seluruh dunia. Kita duduk dalam parabola yang bulat. Pope ini harus menyedari bahawa dia bukan duduk dalam satu bumbung yang milik dia sendiri. Dia dikelilingi oleh masyarakat-masyarakat yang lain. Dia harus sedar bahawa perbuatan dia mengundang kehancuran dan pertembungan tamadun masa kini. Oleh yang demikian, saya menyokong usul ini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi Pasir Puteh. Lepas itu terpulang, kalau ada masa baru Yang Berhormat bagi Kuala Terengganu.

5.10 ptg.
Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera masyarakat Hadhari. Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri untuk menyatakan bahawa saya menentang sekeras-kerasnya dan mengutuk sekeras-kerasnya atas apa yang telah dilakukan oleh Pope Benedict XVI. Walaupun beliau telah memohon maaf, kita tidak boleh terima sehinggalah maafan itu boleh dibuktikan bahawa tidak berlaku di kalangan beliau walaupun selepas beliau sampai ke hari kiamat. Tuan Yang di-Pertua, tidak asing lagi dengan kita bahawa Richard the Lionheart dan juga George Bernard Shaw dan Alex Morris Francis, Gotty dan sebagainya ini adalah saya hendak menyatakan bahawa golongan bukan Islam, mengiktiraf our Prophet Muhammad s.a.w. dan Al-Quran yang dibawa, saya quote dengan izin Alex menyatakan dalam Bahasa Malaysia, “Muhammad s.a.w. telah meninggalkan kepada dunia sebuah kitab yang menjadi lambang keutuhan bahasanya dan sasteranya dan juga akhlaknya.”

Saya menyatakan bahawa Pope Benedict XVI tidaklah ucapan untuk mencari keamanan, untuk menempah celaka kerana cakap untuk merais dan mempunyai agenda yang besar untuk memecahkan antara agama. Maka, dengan sebab itulah, kalau merais dengan ucapan begini, menempah celaka namanya kerana krisis dalam

agama Tuan Yang di-Pertua, tidak ada ubat. Krisis dalam politik, ada sedikit-sedikit ubat. Dalam agama tidak ada ubat, tidak ada sesiapa boleh mengubati. Maka, dengan sebab itulah saya hendak quote satu lagi bahawa…

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: [Bangun]
Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: Ahli-ahli, laluan. Bagi seminit. Pasal baru naik angin.

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi dia bincang dengan saya sedikit. Yang Berhormat bagi Pasir Puteh kata hendak sebut tentang Ulul Albab, konsep Ulul Albab yang sepatutnya ada pada pemimpin-pemimpin ini. Cuba Yang Berhormat cerita sedikit.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Kalau hendak terjemah Ulul Albab, dok panjang cerita, tidak sempat.

Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: Terima kasih.
Sebenarnya Ulul Albab ini orang yang mempunyai akal fikiran yang jauh, mempunyai vision, mempunyai jangka panjang kerana kita tahu Pope ada ilmu. Tetapi, dari segi emosi, dari segi sikapnya tidak dapat control. Dia berlandaskan kepada kemahuan dan kehendak agenda yang tertentu. Kalau dia berfikir dengan cara kedamaian, dia tidak akan menyebut sedemikian.

Maka Tuan Yang di-Pertua, saya quote satu lagi dari Alex Morris Francis. Morris Francis menyatakan bahawa, “Sesungguhnya Al-Quran adalah yang dibawa oleh Prophet Muhammad s.a.w. sebaik-baik kitab untuk keamanan dan kesejahteraan sejagat dunia seluruhnya”. Maka dengan sebab itulah saya menyatakan bahawa kalau dia mengatakan Muhammad s.a.w. itu keras, Muhammad s.a.w. itu kasar, Muhammad s.a.w itu zalim, kenapa Nabi Harun dan Musa di utus oleh Allah kepada Firaun? [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Pasal Firaun sudah mengaku Tuhan, ada syurga neraka sendiri, tetapi Tuhan kata Harun dan Musa pergi kepada firaun, dakwah dia, pujuk dia. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Cakap lemah-lembut, jangan kasar.

Ini macam mana Pope Benedict XVI ini boleh bercakap kasar? Inilah sign tidak layak untuk mewakili Tuhan dia. Maka dengan sebab itulah bagi saya, saya hendak menyatakan bahawa hari ini kita hendak parti-parti pembangkang, biar samalah dengan parti pembangkang yang sekongsi dengannya. Ini tidak sama. Yang Berhormat bagi Kubang Kerian sudah bawa satu isu, Yang Berhormat bagi Seputeh tidak sama dengan Yang Berhormat bagi Pasir Puteh pula.
[Ketawa]

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: [Menyampuk tanpa pembesar suara]

Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: I’ll failed that, dengan izin. I’ll failed that your idea, your proof. Saya minta supaya Yang Berhormat bagi Seputeh juga, kita tidak kira parti pembangkang dalam Dewan ini…

Beberapa Ahli Pembangkang: [Bercakap tanpa pembesar suara]

Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: [Bertanya kepada Yang Berhormat bagi Cameron Highlands] Yang Berhormat bagi Cameron Highlands pun angguk.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat…

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Lari tajuk…

Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: Jadi, sebab itulah bagi saya…

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Lari tajuk. [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat…

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Minta penjelasan Yang Berhormat bagi Pasir Puteh.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat….

Dato Haji Che Min bin Che Ahmad [Pasir Puteh]: Saya tidak bagi floor ini. Dengan ini, saya menyokong dan dengan ini saya mengutuk sekeras-kerasnya apa yang diperkatakan oleh Pope Benedict XVI. Terima kasih.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Saya hendak appeal kepada Yang Berhormat bagi Pasir Puteh supaya sama-sama baca teks ucapan….

Seorang Ahli: Sudah, sudah, habislah. Sudahlah, sudah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Setiausaha Parlimen sila.

5.15 ptg.
Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri [Tuan Ahmad Shabery Cheek]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat bagi Kubang Kerian serta tujuh orang lagi Yang Berhormat-Yang Berhormat yang lain yang telah mengambil bahagian dalam usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat bagi Kubang Kerian di bawah Peraturan 18(1) supaya Dewan yang mulia ini membincangkan isu kenyataan kontroversi Paderi Besar Vatican Pope Benedict XVI mengenai ajaran Islam adan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah dan sedang mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya untuk mengambil perhatian Dewan yang mulia ini tentang reaksi umat Islam dan juga masyarakat dunia terhadap isu ini. Misalnya di Syria, jawatankuasa yang dinamakan Christian-Islamic Joint Committee turut mengutuk kenyataan Pope tersebut. Di Morocco, kerajaannya memanggil pulang Duta besarnya di Vatican. Di Britain, Muslim Council of Britain telah menerima penyataan kesal Pope. Di Egypt ataupun di Mesir, Gereja Ortodoks Koptik ataupun Egypt’s Coptic Orthodox Church dengan izin telah membuat komen yang menyatakan bahawa kenyataan Pope itu adalah bertentangan dengan ajaran Kristian ataupun ajaran Jesus Christ.

Kedua, di Mesir juga ada satu golongan pembangkang di Egypt iaitu Muslim Brotherhood atau Ikhwan al-Muslim mengalu-alukan kenyataan Pope yang meminta maaf tetapi memberi amaran bahawa ia memerlukan satu permintaan maaf yang lebih tegas dan lebih menyeluruh lagi bagi memenuhi perasaan ataupun mengambil hati umat Islam seluruh dunia. Grand Sheikh of al-Azhar iaitu Sheikh Besar al-Azhar menyatakan bahawa kenyataan Pope itu menunjukkan beliau adalah seorang yang tidak tahu tentang Islam.

Di Indonesia terdapat satu protes awam secara besar dan di Iran terdapat protes awam. Saya bacakan satu persatu dan saya rasakan bahawa terdapat beberapa kenyataan lain yang cukup penting, misalnya di Turki State Minister ataupun Menteri negaranya Mehmet Aydin menyatakan Pope hanya meminta maaf terhadap reaksi yang timbul dari kenyataannya, tetapi tidak mengenai kenyataannya sendiri. Qatar seorang ulama besar Islam Yusuf al-Qaradawi memanggil supaya hari Jumaat diadakan satu hari untuk menyatakan bantahan umat Islam dan menyatakan bahawa Pope perlu membuat kenyataan meminta maaf secara sepenuhnya. Malang sekali di Somalia, seorang Catholic nun atau nun Katolik telah ditembak dan dikatakan bahawa ada hubung kait dengan kenyataan tersebut. Di Palestin, empat gereja di Nablus telah dibakar dan adanya tembak menembak yang berhampiran dengan Gereja Ortodoks di sana.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, kandungan kenyataan Pope Benedict XVI berhubung Islam dan junjungan Nabi besar, Nabi Muhammad s.a.w. yang dibuat, semasa beliau menyampaikan ucapannya di Universiti Regensburg, Jerman pada 12 September 2006, jelas memberikan gambaran tidak benar dan negatif terhadap Islam dan junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Ucapan beliau itu antaranya menyunting kenyataan Emperor Manual II Paleologos dari empayar Byzantine di Abad ke-14 yang mendakwa kononnya Nabi Muhammad SAW tidak membawa sesuatu perkara yang baru kecuali kejahatan dan kekejaman serta dakwaan bahawa Islam disebarkan secara kekejaman dan kekerasan melalui paksaan dan mata pedang. Tindakan tersebut seolah-olah disengajakan untuk mempersendakan perjuangan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam. Yang Berhormat bagi Seputeh sebentar tadi ada menyebutkan bahawa reaksi umat Islam di seluruh dunia adalah berasaskan kepada salah faham dan mereka tidak membaca ucapan sebenar atau teks-teks sepenuhnya ucapan Pope tersebut.

Perlu saya jelaskan di sini bahawa sekiranya Pope menyedari bahawa kedudukannya sebagai pemimpin besar umat Kristian bermazhab katolik. Kita merasakan bahawa adalah wajar bagi beliau untuk berhati-hati dalam kenyataannya bagi menjaga perasaan seluruh umat Islam dan menjaga ketenteraman antara agama dalam dunia. Misalnya saya boleh berkata, saya memetik kata-kata orang lain mengenai DAP sebagai contoh kalau saya katakan bahawa ada orang berkata “DAP ialah sebuah parti chauvinist perkauman dan menjadi pencetus kepada peristiwa 13 Mei”. Saya boleh mengatakan bahawa itu bukan kenyataan saya, tetapi kenyataan orang lain, apakah perasaan orang DAP dalam soal ini? Kalau ia datang daripada seorang pemimpin Melayu, pemimpin UMNO, pemimpin orang Islam dengan mengatakan bahawa “ini bukan kata saya, tetapi kata orang lain”. Sudah tentu ia juga akan menyentuh perasaan Yang Berhormat sekiranya ia datang kepada orang lain mengulangi perkara yang boleh mencetuskan kemarahan dan memarakkan api perkauman dalam konteks Negara kita.

Malaysia selaku pengerusi sidang kemuncak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) ke-10 amat kesal dengan ucapan Pope Benedict XVI tersebut kerana ianya nyata dan dengan sengaja ingin menjejaskan maruah dan imej Islam, serta kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kita amat bimbang isu kenyataan pemimpin agung agama Katolik ini boleh menyebabkan berlakunya pergeseran di antara penganut Islam dan Katolik. Ini kerana sesetengah penganut Katolik mungkin mengambil pandangan beliau tersebut walaupun dalam bentuk petikan sebagai pandangan rasmi gereja Katolik. Kenyataan Pope Benedict XVI ini juga tidak menyumbang kepada usaha-usaha untuk meningkatkan kefahaman dan keharmonian di antara agama yang kini menjadi satu perkara yang amat kritikal bagi membendung kemarahan yang boleh mencetuskan perkara-perkara yang tidak baik seperti isu keganasan antarabangsa yang bukan hanya perlu dilihat dari aspek pengganas itu sendiri tetapi punca-punca keganasan yang berlaku di seluruh dunia.

Ucapan beliau tersebut telah menimbulkan kemarahan masyarakat, pertubuhan-pertubuhan dan pemimpin-pemimpin Islam di seluruh dunia. Contohnya ialah sebagai mana yang disebutkan tadi berlakunya tunjuk perasaan di Pakistan, India, Iran, Palestin dan Indonesia. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16 September 2006 telah mengeluarkan kenyataan meminta Pope Benedict memohon maaf dan menarik balik kenyataannya. Beliau turut menyatakan bahawa kenyataan Pope Benedict tersebut tidak dapat diterima langsung oleh umat Islam serta menampakkan betapa ceteknya pengetahuan Pope Benedict mengenai Islam dan sejarahnya.

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri kita pula, meminta supaya Pope lebih berhati-hati dan cermat dalam membuat kenyataannya untuk tidak menyinggung lagi umat Islam. Kenyataan turut dikeluarkan oleh Yang Berhormat Menteri Luar Negeri pada 17 September 2006 di Havannah yang mengulangi gesaan Malaysia agar Pope Benedict menarik balik kenyataan yang mengaitkan Islam sebagai agama yang disebarkan melalui mata pedang dan memohon maaf kepada umat Islam.

Kenyataan-kenyataan yang hampir serupa, misalnya kelmarin pihak penyokong kerajaan BN BBC Parlimen Malaysia turut mengeluarkan kenyataan yang sama menunjukkan betapa seragam dan sepakatnya Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dalam soal yang berkaitan dengan kenyataan ini. [Tepuk]

Sejak timbulnya kontroversi tersebut pihak Vatican telah
mengeluarkan dua kenyataan awal yang bertujuan melahirkan rasa kekesalan mereka berhubung kontroversi yang timbul lanjutan ucapan Pope Benedict itu iaitu pada 15 dan 16 September oleh Vatican Information Service dengan izin dan oleh Setiausaha Negara Vatican, Kardinal Tarcisio Bertone. Pope Benedict sendiri menyatakan kekesalan beliau berhubung isu yang sama pada 17 September 2006. Beliau menyatakan rasa kesalnya bahawa ucapan beliau itu telah menimbulkan reaksi negatif di kalangan umat Islam. Ini kerana beliau hanya menyunting kata-kata Emperor
Manual II Paleologos dari empayar Byzantine di Abad ke-14 dengan izin;
“These in fact were a quotation from a Medieval text which do not in any way express my personal thought”.

Beliau berharap kenyataan kesalnya itu boleh menenangkan keadaan dan menamatkan kontroversi tersebut, beliau juga menjelaskan bahawa ucapannya adalah merupakan satu jemputan ke arah dialog yang ikhlas dan terbuka.
Tuan Yang di-Pertua, walaupun Pope Benedict telah mengeluarkan kenyataan maaf seperti di atas, namun tindakan beliau masih dianggap tidak memenuhi tuntut masyarakat Islam seluruh dunia.
Sehubungan dengan itu saya ingin sekali lagi menegaskan supaya Dewan yang mulia ini mengikut peruntukan sebagaimana dalam peraturan mesyuarat kita pada hari ini agar mengambil ketetapan-ketetapan berikut:

(i)mengambil maklum berhubung isu ucapan Pope Benedict ke-XVI yang mengandungi pernyataan yang tidak benar, kontroversi serta menjejaskan Islam di samping menjatuhkan kemuliaan dan imej Nabi Muhammad SAW;

(ii)Malaysia membantah sekeras-kerasnya kandungan petikan ucapan Pope Benedict di antaranya yang menyunting kenyataan Emperor Manual II Paleologos dari empayar Byzantine di Abad ke-14. Kenyataan ini jelas bercanggah dengan ajaran sebenar Islam yang dituntut oleh Allah SWT dan disebarkan melalui junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menekankan toleransi menentang keganasan serta menekankan amalan dan nilai-nilai murni dalam amalan harian penganutnya;

(iii)pernyataan pemimpin agung Katolik ini juga mungkin boleh menyebabkan berlakunya pergeseran di antara penganut Islam dan Kristian khususnya Katolik dan tidak menyumbang langsung kepada sebarang usaha untuk meningkatkan kefahaman dan keharmonian di antara agama;

(iv)menuntut agar Pope Benedict ke-XVI mengambil langkah-langkah perlu bagi memupuk kefahaman antara agama dan budaya;

(v)menuntut agar Pope Benedict ke-XVI selaku Ketua Gereja Katolik menghormati agama Islam dan sensitif dan menjaga sensitiviti umatnya dengan memastikan agar perkara ini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Tuan Yang di-Pertua, perlu saya jelaskan, tolonglah dan pastikan bahawa keganasan tidak boleh dikaitkan dengan agama, khususnya agama Islam semata-mata. Berlaku keganasan di kalangan orang-orang Kristian, apa yang berlaku di Ireland Utara satu ketika dahulu bertentangan antara Katolik dengan Protestan juga telah mencetuskan isu-isu dan mencetuskan peristiwa-peristiwa malang dan hitam dalam keganasan dan ianya tidak ada kaitan dengan Islam. Keganasan yang dilakukan oleh golongan pemisah ‘Bast’ di Spain, di Sepanyol, ianya tidak ada kena-mengena dengan Islam tetapi ada punca-punca lain yang berlaku. Sebab itulah dunia terutama dasar luar negara-negara kuasa besar mesti melihat bahawa antara punca keganasan ialah berlakunya ketidakadilan, berlakunya penindasan, berlakunya sikap tuat talam dua masa.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat….

Tuan Ahmad Shabery Cheek: Kuasa-kuasa besar terhadap umat Islam.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Masa cukup.

Tuan Ahmad Shabery Cheek: Dan inilah punca keganasan yang perlu kita ambil tahu dan kita perhatikan untuk memastikan dunia terus aman dan sejahtera, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ahli-ahli Yang Berhormat dengan ini perbahasan ditutup. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Timbalan Menteri Tenaga Air dan Komunikasi menyambung semula jawapannya.

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://teresakok.blogsome.com/2006/09/21/the-verbatim-report-of-the-emergency-motion-debate-on-pope-benedict-xvi-in-malaysia-parliament-dated-19th-september-2006/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>