Budget Speech Part 4 —Election Commission Needs To Be Reformed

Wednesday, 13-09-2006

Suruhanjaya Pilihan Raya Haruslah Menjalankan Pembaharuan

Datuk yang diPertua, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memanggil satu rundingan pelbagai pihak terhadap cadangan pindaan kepada saiz dan cara pemasangan bahan-bahan kempen pilihan raya. Saya merasa agak hairan bahawa mesyuarat dipanggil oleh SPR terhadap isu yang begitu remeh-temeh ini, tetapi bukan membincangkan isu tentang reformasi ataupun pembaharuan SPR yang lebih penting dan besar.

Datuk yang diPertua, kalau Islam Hadhari itu mewakili kejujuran and ketelusan, maka pilihan raya mestilah bebas, saksama, jujur dan telus. Tanpa kebebasan, kesaksamaan, kejujuran dan ketelusan, proses pilihanraya itu menjadi suatu formaliti yang tidak bermakna dan malah suatu penipuan.

Isu pertama ialah Daftar pemilih SPR. Daftar Pemilih ini penuh dengan data yang tidak lengkap dan tidak benar. Menurut analisis oleh sistem komputer SISMEP12 Parti Keadilan Rakyat dalam buku “Sham Democracy”, terdapat 223,950 orang pengundi tidak diberikan saluran pendaftar di Negeri Selangor dalam Pilihan Raya 2004. Angka ini merupakan 16% daripada jumlah pengundi di negeri itu (1,422,274 orang) dalam tahun 2004. Selain itu, kajian tersebut juga menunjukkan terdapat sebanyak 20,048 orang pengundi berumur 90 hingga 122 tahun ke atas di di Selangor, WP Kuala Lumpur, Perak, Penang, Kedah dan Pahang, iaitu lebih kurang 20 tahun lebih tua daripada jangkaan hayat rakyat Malaysia. Macam manakah ini boleh berlaku?

Selain itu, Daftar Pemilih kita juga penuh dengan pengundi yang mempunyai alamat yang tidak wujud lagi. Ramai penduduk setinggan telahpun berpindah tetapi alamat mereka tetap wujud. Misalnya di sebuah kedai runcit di Kampung Kerinci di Kuala Lumpur, terdapat 142 orang bermastautin di sebuah kedai kecil?

SPR telah banyak kali berkata bahawa sistem komputernya telah menyambung sistem komputer di Jabatan Pendaftaran Negara, tetapi kenapakah kesilapan seperti ini masih wujud dalam Daftar Pemilih SPR?

Saya tidak setuju dengan kenyataan SPR bahawa SPR akan meminda undang-undang untuk menghadkan alamat pengundi dalam kad pengenalan mereka mestilah sama dengan alamat dalam Daftar Pemilih, sekiranya ini dilaksanakan, maka ini tentu akan menyusahkan pengundi di luar bandar yang bekerja di kawasan bandar yang mana kebanyakan mereka suka balik kampong untuk membuang undi.

Saya mencadangkan supaya Daftar Pemilih di setiap kawasan seharusnya dipaparkan di tempat umum seperti balai polis dan majlis perbandaran bagi semakan orang ramai untuk memastikan pengundi yang tersiar dalam Daftar Pemilih itu merupakan orang yang didaftarkan di alamat benar. Selain itu, orang yang mati juga haruslah disingkir daripada Daftar Pemilih.

Mengecatka Indelible Ink Pada Jari Pengundi

Selain itu, tibalah masanya bagi SPR untuk mengamalkan seruan yang dibuat oleh pelbagai pihak, iaitu mengecatkan jari pengundi yang telah membuang undi dengan dakwat kekal ataupun “indelible ink” seperti apa yang dilaksanakan di banyak negara seperti India, Filipina dan sebagainya, untuk mengelakkan seseorang pengundi menggunakan kad pengenalan orang lain ataupun orang yang sudah mati untuk membuang undi.

Undi Pos Dihapuskan

Undi pos bagi pihak polis dan tentera pada asalnya diperuntukkan kerana anggota-anggota angkatan keselamatan kita terpaksa memerangi gerila komunis. Hari ini kita tidak menghadapi ancaman keselamatan yang begitu serious di mana anggota-anggota keselamatan tidak boleh mengambil giliran untuk mengundi. Ancaman kita hari ini semasa pilihan raya bukanlah Komunis, tetapi ketidaktelusan dan ketidakjujuran SPR. Dalam pilihanraya yang lepas, terdapat sebanyak 5,000 undi yang telah dikutip tetapi tidak dibuang di kawasan Parlimen Lumut. Pengerusi SPR Tan Sri Rashid menjelaskan kepada pihak akhbar pada 13 April bahawa keadaan ini berlaku kerana anggota-anggota tentera laut telah keluar ke laut, akhirnya SPR memotong 5 ribu undi daripada keputusan terakhir yang diwartakan. Soalannya ialah, macam manakah 5 ribu orang tentera laut yang telah mengutip kertas undi mereka sanggup keluar ke laut tanpa membuang undi semasa kempen pilihan raya pada 17-21 Mac 2004? Bukankah ini satu perkara yang aneh?

Sekiranya SPR ingin mengembalikan kewibawaannya sebagai badan yang boleh dan mampu menganjurkan pilihan raya yang adil dan bebas, ia harus bermula dengan menghapuskan dua pengundian yang mendatangkan banyak kecurigaan, ia mesti melakukan:

1.pengemaskinian daftar pengundi dengan meneliti aduan daripada parti pembangkang dan orang awam di bawah Peraturan 10, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya,

2. Meminda peraturan pilihan raya supaya sebarang penyingkiran pengundi daripada sesuatu kawasan pengundian itu mesti diumumkan untuk pemeriksaan dan pemantauan orang awam,

3. Menggunakan dakwat kekal pada jari pengundi dalam pilihan raya akan datang;

4. Membatalkan undi pos kecuali kepada warganegara dan pegawai diplomat yang berkhidmat di luar negeri.

Datuk yang diPertua, saya juga ingin mencadangkan supaya ahli suruhanjaya di SPR dipilih daripada orang yang berwibawa dan bebas, seperti bekas hakim, dan bukannya kakitangan kerajaan, kerana pegawai kerajaan akan sentiasa terpaksa untuk menunduk kepada kuasa parti pemerintah dan terpaksa melakukan pelbagai taktik untuk memastikan kemenangan parti pemerintah, dan ini telahpun diakui oleh Tan Sri Rashid dalam wawancara dengan Malaysiakini di September 2003.

Kerajaan seharusnya mencontohi negara-negara Eropah Timur yang mana anggota-anggota SPR terdiri daripada wakil-wakil parti mengikut peratusan undi dan kuota lain. Jadi, saya mencadangkan Perkara 114 dalam Perlembagaan Perseketuan, iaitu keanggotaan SPR dikaji semula.

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://teresakok.blogsome.com/2006/09/13/p223/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>