Motion to cut IGP’s pay
Tuesday, 06-12-2005
Ucapan Usul Potong Gaji Ketua Polis Negara Oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh Pada 5 Disember 2005 di Peringkat Perbahasan Jawatankuasa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Bajet 2006
Datuk Pengerusi, saya berdiri di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) untuk membentangkan usul mengikut Maksud Bekalan B. 62 – Kod 10000 Emolumen di bawah Butiran 020000 Polis Diraja Malaysia, iaitu dengan memotong gaji Ketua Polis Negara sebanyak RM10.
Datuk Pengerusi, pertama sekali, saya ingin menegaskan di sini bahawa usul saya terhadap Ketua Polis Negara bukannya “police bashing”, usul ini tidak bermaksud saya tidak menghormati sumbangan daripada pasukan polis terhadap rakyat dan negara, usul ini juga tidak mengandungi apa-apa tujuan peribadi terhadap Ketua Polis Negara, tetapi usul ini dibentangkan kerana siri kes salah-laku dan korupsi yang berlaku di kalangan pegawai polis yang menunjukkan imej dan kelakuan polis telah semakin merosot, yang mana bermaksud usaha Ketua Polis Negara untuk membaharui PDRM telahpun gagal.
Selain itu, reaksi pihak PDRM yang tidak munasabah terhadap siri tuduhan daripada masyarakat dan media ini terhadap pihak polis bukan sahaja telah menyebabkan kejatuhan imej pihak PDRM, tetapi ia malah telah menjejaskan imej negara di dunia antara bangsa, khususnya hubungan dua-hala di antara Malaysia dengan Negeri China, dan ia juga telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menarik pelancong asing ke Malaysia.
Tahanan 4 Wanita Negeri China
Datuk Pengerusi, pertama sekali, saya ingin rujuk kepada laporan polis dan aduan yang dibuat oleh 4 orang wanita China yang disalah-tahan oleh polis dalam pemeriksaan kenderaan dan sekatan jalan di Sungai Buloh pada lewat malam 3 November 2005. Saya difahamkan bahawa keempat-empat perempuan ini ditangkap oleh polis atas tuduhan mereka memegang pasport yang disyaki palsu. Pada waktu itu, pegawai polis yang menjalankan sekatan jalan itu sebenarnya telah membuat isyarat badan yang ingin meminta wang daripada mereka, tetapi mereka enggan membayar rasuah kepada polis kerana passport yang dipegang oleh mereka adalah benar. Selepas mereka ditahan, suami mereka pernah mengambil surat perkahwinan untuk berjumpa polis di Balai Sungai Buloh, tetapi kesalnya pihak polis enggan menerima surat perkahwinan mereka dan mereka tetap ditahan di lokap polis di Balai Polis Petaling Jaya sehingga Jabatan Imigresen di Putrajaya mengesahkan passport mereka adalah benar. Ini bermaksud mereka telah ditahan secara tidak sah hampir 5 hari di lokap balai polis Petaling Jaya. Selain itu, mereka juga dipaksa untuk berbogel badan dan melakukan perbuatan ketuk-ketambi di balai tersebut selain daripada terpaksa memberi rasuah kepada pegawai polis di balai tersebut.
Kesalnya, selepas kes penahanan tidak sah mereka disiarkan oleh media tempatan dan selepas mereka berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Padang Renggas yang juga merupakan Pengerusi kepada Kokus Hak Asasi Manusia di Parlimen, satu rombongan polis datang ke rumah mereka dan mengganggu mereka pada waktu lewat malam pada 22 November 2005. Tindakan polis ini merupakan satu kelakuan ugutan dan penakutan terhadap wanita asing yang membuat laporan ini. Ini adalah bercanggah dengan kenyataan Ketua Polis Negara yang menyeru orang ramai membuat laporan tentang korupsi dan salah-laku polis, ia juga bercanggah dengan kenyataan YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri yang menyeru orang ramai bercakap benar kepadanya dan juga usaha YAB untuk membanteraskan rasuah.
Serbuan Polis Terhadap Kelab Malam dan Karaoke
Selepas kes 4 wanita Negeri China dilaporkan secara luas oleh media, pihak polis kemudian kelihatan melancarkan siri operasi pemburuan terhadap orang Negeri China yang dikatakan melebihi tempoh visa di Malaysia. Siri operasi yang selalunya dilakukan oleh pihak polis secara kasar ini sebenarnya telah menjejaskan bisnes tempat-tempat hiburan khususnya kelab malam dan pub di kawasan bandar dan kawasan Lembah Klang. Selain itu, operasi oleh pihak polis ini juga lebih menjejaskan imej negara dan imej polis di kalangan pelancong dan peniaga asing, khususnya golongan peniaga dari Negeri Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong dan China yang selalu suka minum dan makan di tempat-tempat hiburan di samping menyanyi Kara-oke. Sila bayangkan apakah perasaan dan apakah gambaran bagi para pelancong dan peniaga asing apabila pasukan polis menyerbu masuk ke restoran ataupun kelab malam bila mereka tengah menikmati minuman dan nyanian?
Kelakuan polis tersebut merupakan tindakan balas dendam dan reaksi terhadap aduan yang dibuat oleh keempat-empat wanita Negeri China tersebut terhadap mereka. Operasi serbuan polis yang kerap dijalankan di tempat hiburan itu selalu melibatkan peniaga dan pelancong dari Negeri China yang tidak bersalah sehingga mereka mempunyai gambaran yang buruk terhadap Malaysia. Tindakan polis ini telahpun menyebabkan pelancong dari Negeri China mempunyai persepsi yang salah bahawa Malaysia adalah tempat yang kurang selamat, khususnya terhadap pelancong dari Negeri China.
Datuk Pengerusi, saya menyokong polis untuk menahan pendatang tanpa izin di negara kita mengikut undang-undang kita, tetapi usaha penangkapan pendatang asing tanpa izin ini seharusnya merangkumi pendatang tanpa izin dari negara-negara lain, termasuk pendatang tanpa izin Afrika, Indonesia, India, Bangladesh dan Filipina, dan bukan tertumpu pada pendatang atau pekerja tanpa izin dari Negeri China. Serbuan polis terhadap tempat-tempat hiburan di bandar ini dilihat oleh masyarakt Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa mereka menuju kepada pendatang dari Negeri China sahaja.
Selain itu, apakah angka yang diumumkan oleh pihak polis bahawa negara kita mempunyai 50,000 pendatang dari Negeri China itu benar? Bukankah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telahpun menafikan angka yang dikeluarkan oleh kementerian mengenai pendatang dari Negeri China yang melebihi tempoh visanya, tetapi kenapakah pihak polis masih menyatakan bahawa pihak polis akan menjalankan operasi memburu pendatang dari Negeri China yang telah melebihi tempoh kebenaran visanya? Apakah pihak polis kita telahpun berat sebelah dalam isu ini.
Ramai Orang Asing Yang Sah Menghadapi Gangguan Daripada Polis
Datuk Pengerusi, sebenarnya ramai orang asing, samada mereka yang mempunyai dokumen yang sah ataupun tanpa dokumen yang sah, mereka selalu menghadapi ugutan dan permintaan rasuah daripada golongan pegawai polis yang tidak bertanggungjawb. Saya pernah bertemu dengan seorang wanita dari Negeri China yang mempunyai dokumen yang sah, beliau berkata pegawai polis selalu suka mendampingi gadis dari Negeri China untuk meminta rasuah, dan wang rasuah yang diminta oleh pegawai polis ini selalunya dalam lingkungan RM500 hingga RM1,000. Mereka selalu diugut oleh polis bahawa mereka ditahan sekiranya mereka enggan bayar wang rasuah.
Sehubungan dengan itu, beberapa hari yang lepas, seorang pelajar bangsa Jepun di Malaysia yang bernama Kaib Ori Kumihiro telah dilaporkan membuat laporan polis bahawa pegawai polis minta RM1000 daripadanya kerana tidak membawa passport. Beliau kemudian terpaksa memberi wang sebanyak RM500 kepadanya kerana pegawai polis mengugut akan menahannya sekiranya beliau tidak memberi wang rasuah tersebut.
Hari ini, seorang pelajar dan seorang peniaga dari Iran yang mempunyai dokumen yang sah telahpun berjumpa dengan kokus Hak Asasi Manusia di Parlimen. Mereka berkata mereka juga pernah menghadapi masalah permintaan rasuah daripada polis kerana tidak membawa passport tetapi hanya membawa permit kerja dan kad pelajar universiti sahaja. Pengadu peniaga yang bernama Morteza berkata beliau pernah ditahan oleh pihak polis dalam satu operasi sekatan jalanraya dalam bulan Ramadhan pada dua tahun yang lepas kerana gagal membawa passportnya, tetapi oleh kerana beliau enggan membayar rasuah sebanyak RM500 yang diminta oleh polis, beliau pun dibawa ke Balai Polis Subang Jaya dan diarah bertelanjang badan dalam lokapnya. Peniaga Iran Morteza ini merasa amat kecewa kerana polis minta beliau berbuat demikian dalam bulan Ramadhan semasa beliau berpuasa. Kejadian ini meninggalkan gambaran yang amat buruk terhadap polis kita. Morteza dan rakannya juga berkata ramai kawannya dari Iran yang bermastautin di Malaysia juga menghadapi masalah yang sama daripada polis. Bukankah keadaan ini telah menjejaskan usaha kerajaan yang ingin menjadi model negara Islam? Bukankah ini bercanggah dengan Islam Hadhari yang dipelopori oleh kerajaan?
Kes tersebut bermaksud ugutan dan gangguan pegawai polis yang tidak bertanggungjawab sebenarnya berlaku pada semua orang asing, termasuk pendatang dari Indonesia, Filipina, India, Bangladeshi, Myanmar dan sebagainya. Komuniti orang asing merupakan sasaran yang paling lemah berbanding dengan orang tempatan, tetapi layanan pegawai polis yang tidak bertanggungjawab terhadap orang asing sebenarnya telah mencemarkan imej polis dan imej negara di masyarakat antarabangsa, dan seterusnya menjejaskan industri pelancongan kita.
InvenQjaya
Datuk Pengerusi, ramai di antara kita menghadapi masalah dengan polis di mana banyak kes yang dilaporkan kepada polis tidak disiasat dan tidak diambil serius oleh pihak polis, termasuk kes yang melibatkan pelabur asing. Di sini saya ingin membangkitkan satu kes yang melibatkan satu syarikat yang dioperasikan oleh peniaga Amerika Syarikat yang bernama Sadeg yang merupakan CEO kepada InvenQjaya yang terletak di Cyberjaya. Pihak polis menyerbu syarikat ini dan membeku semua aset dan operasi syarikat ini di bawah Money Laundering Act pada bulan Februari 2004 berdasarkan satu laporan polis yang bernombor 545/05 di Balai Polis Dengkil.
Kesalnya, selepas polis membeku aset dan operasi syarikat ini selama 22 bulan, polis masih tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap syarikat ini sehingga hari ini. Pihak polis malah belum mengambil apa-apa kenyataan daripada CEO syarikat ini, iaitu Encik Sadeg. Persoalannya, apakah ini cara polis menangani kes yang melibatkan peniaga asing? Sekiranya polis berpendapat CEO syarikat asing ini bersalah, maka pihak polis seharusnya mendakwanya ke mahkamah, tetapi bukannya membeku kesemua operasi dan aset syarikat ini sehingga kesemua pekerja di InvenQjaya ini kelihatan hilang hala-tuju selama 22 tahun.
Sekiranya ini ialah cara polis melayan pereka dan usahawan asing seperti Sadeg, maka secara tidak langsung, pihak polis telahpun menjejas kedatangan pelaburan asing dan peniaga asing daripada melabur dan beroperasi di Malaysia.
Kematian Dalam Lokap Polis
Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Dato Chor Chee Heung pernah mendedahkan di Parlimen pada tahun 2003 bahawa 18 orang mati dalam lokap sejak Januari hingga September 2003. Angka ini bermaksud secara puratanya, terdapat 2 orang mati di lokap polis setiap dua minggu. Statistik ini disahkan dalam Laporan Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia yang mana mendedahkan bahawa 80 orang telah mati di lokap polis dalam 5 tahun yang lepas. Ini adalah angka yang amat memeranjatkan.
KLIP MMS
Datuk Pengerusi, kita telah banyak mendengar aduan orang ramai terhadap penyeksaan yang berlaku di lokap polis. Rakaman gambar klip Multimedia Messaging Services (MMS) dalam telefon bergerak yang menunjukkan seorang wanita yang berbogel badan yang terpaksa melakukan perbuatan ketuk-ketampi di hadapan pegawai polis wanita dan juga aduan daripada 4 orang wanita dari Negeri China dan orang Iran yang disebutkan di atas, pun mencetuskan pertanyaan daripada orang ramai tentang prosedur penahanan saspek di lokap polis kita. Kesalnya, selepas rakaman gambar klip MMS ini disiarkan dalam media, reaksi daripada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan ialah pihak polis berhak mengkehendaki tahanan untuk menelanjang badan dan melakukan ketuk-ketampi kerana ini ialah Standard Operating Procedure di balai polis kerana polis ingin periksa samada seseorang itu menyimpan dadah dalam tubuh-badannya ataupun tidak.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara juga menyatakan bahawa polis akan mengambil tindakant terhadap orang yang membuat rakaman gambar secara curi-curi itu tetapi bukan pegawai polis wanita yang mengarah tahanan wanita yang membuat ketuk-ketambi tersebut. Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara ini telah memeranjatkan banyak pihak kerana kesemua orang yang pernah menonton gambaran klip MMS itu pun akan marah pada pegawai polis wanita dan bukannya pada orang yang membuat rakaman secara curi-curi. Kenyataan beliau ini mencetuskan pertanyaan daripada semua pihak, iaitu apakah Standard Operating Procedure yang dimaksudkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara? Kenapakah semua saspek ataupun tahanan di balai polis dikehendaki untuk menelanjangkan badan di hadapan pegawai polis walaupun mereka bukan ditahan di bawah kesalahan yang bersabit dengan dadah? Misalnya dalam kes 4 wanita China dan kes lelaki Iran yang saya sebutkan tadi, mereka hanya ditahan kerana passport mereka disyaki tidak benar, kenapkah mereka turut disuruh untuk menelanjangkan badan atas kesalahan seperti ini? Bukankah Standard Operating Procedure ini telah mencabuli hak asasi manusia dan adalah keterlaluan?
Ramai peguam, ahli politik dan aktivis NGO telahpun membuat kenyataan bahawa Lock-up Rules 1953 tidak mempunyai peruntukan yang menghendaki seseorang untuk menelanjangkan badan dan melakukan ketuk-ketambi, selain itu, ia juga bercanggah dengan seksyen 19 dalam Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang menghendaki polis menjalankan pemeriksaan badan pada tahanan wanita dengan amat sopan, yang berbunyi: “Whenever it is necessary to cause a woman to be searched, the search shall be made by another woman with strict regard to decency.”
Datuk Pengerusi, sekiranya ini adalah cara pihak polis menangani tahanan selama ini, ini bermaksud prosedur ini seharusnya diulangkaji dan dihentikan oleh polis jauh lama dahulu kerana ia menjejaskan kehormatan dan digniti seseorang tahanan sekiranya Ketua Polis Negara ingin membawa reformasi dalam pasukan polis, tetapi kesalnya ia tidak dilakukan.
Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)
Datuk Pengerusi, salah satu cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia ialah untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menangani kesemua aduan tentang salah-laku dan korupsi polis, tetapi kesalnya cadangan ini ditolak oleh PDRM kerana PDRM berkata ia mampu menangani hal ehwal dalaman mereka. Siri aduan daripada orang ramai dan media tentang salah-laku polis menunjukkan selagi IPCMC tidak ditubuhkan, kita akan melihat lebih salah-laku dan korupsi akan terus berlaku.
Apakah gunanya bagi kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia manakala cadangan yang paling penting yang dibentangkan oleh mereka tidak dihormati dan diikuti oleh PDRM? Bukankah ini merupakan satu tamparan kepada bekas Suruhanjaya ini dan merupakan satu penghinaan terhadap Yang DiPertuan Agong kita kerana suruhanjaya tersebut ditauliahkan oleh YDP Agong?
Berdasarkan isu-isu dan hujah-hujah sebab-sebab yang saya bentangkan di atas, dengan ini saya berharap usul potong gaji terhadap Ketua Polis Negara sebanyak RM10 ini diluluskan oleh Dewan Rakyat kita ini sebagai tanda ketidakpuasan kita terhadap performance PDRM selama ini.
So what is the next step? Wait for “independent” review? www.Aisehman.org has already pointed out there is an “out” for those responsible.
In the end, its a leadership failure and further condemnation of our system and country to mediocrity.
Comment by Bigjoe — Tuesday, 06-12-2005 @ 10: 19.06
How come cut RM10 only..? Should have gantung this guy…
Comment by khangliang — Wednesday, 07-12-2005 @ 02: 40.21
dap seems powerless to initiate any change. just a lot of rhetoric! this will not help us chinese.
Comment by yip — Wednesday, 07-12-2005 @ 20: 58.18