KL-Putrajaya Highway Being Raised in Parliament Again
Monday, 21-11-2005Today, I have delivered a speech on Ministry of Works on the issue of KL Putrajaya Highway, DUKE and the problems faced by Kg Taiyu squatters. Samy Vellu has been absent from Parliament sitting for days since the Deeparaya break. So I presume there will not be much fire works when the Deputy Minsiter Mohd Zin reply tomorrow. Parliament sitting has been extended till 8.30pm tonight.
Each MP was given 10 minutes to speak now. Below is my speech:
Ucapan Oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Kerja Raya Pada 21 November 2005
Datuk Pengerusi, saya ingin bangkitkan beberapa isu di bawah:
i)Harga Perumahan Bagi Penduduk Kg Taiyu
Datuk yand diPertua, di sini saya ingin membangkitkan isu tentang peruntukan perumahan kepada penduduk setinggan yang telah membuka jalan kepada pembinaan Lebuhraya Sungai Besi oleh Besraya. Mengikut kontrak yang ditandatangani di antara penduduk terlibat dengan syarikat Besraya, ia menetapkan rumah kos rendah akan dijual kepada penduduk setinggan dengan harga RM25,000 dan rumah mereka sepatutnya siap dibina kepada mereka pada tahun 1999/2000. Kesalnya, rumah yang sekarang dibina oleh YTL itu telahpun dinaikkan harga kepada RM42,000.
Saya faham bahawa kos pembinaan rumah sekarang telahpun naik berbanding dengan 8 tahun yang lepas, tetapi penduduk setinggan yang menanti-nantikan rumah itu juga telah bersengsara dan mereka terpaksa sewa rumah dan pindah ke tempat jauh untuk menjimatkan kos. Selain itu, beberapa orang di antara mereka juga tidak sempat pindah ke rumah baru dan telah meninggal dunia. Peningkatan harga rumah kos rendah ini adalah amat tidak adil kepada para penduduk setinggan yang miskin ini. Selain itu, subsidi sewa bulanan RM300 yang mereka sepatut terima sebelum rumah siap ini juga telahpun berhenti selama satu tahun. Di sini, saya ingin menyeru pihak Kementerian untuk terus membayar subsidi sewa bulanan RM300 kepada mereka, selain itu pihak kerajaan haruslah mengekalkan harga jualan RM25,000 seunit seperti apa yang termaktub dalam perjanjian di antara Besraya dengan mereka kepada golongan orang miskin ini sebagai pampasan kerajaan ke atas kesengsaraan mereka.
ii)Masalah Berkenaan Dengan Pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Yang Merentasi Kawasan Kediaman
Datuk Pengerusi, baru-baru ini, isu lebuh raya bertingkat yang melalui kawasan kediaman di kawasan Kuala Lumpur telah menimbulkan banyak masalah kepada penduduk yang bermastautin di Kuala Lumpur, khususnya golongan yang berpendapatan sederhana atas yang telah menggunakan banyak wang simpanan mungkin seumur hidup mereka untuk membeli rumah, dan di sini saya ingin merujuk masalah yang diakibatkan oleh Lebuh Raya Bertingkat KL – Putrajaya terhadap penduduk di Sri Petaling dan Duta – Ulu Kelang Expressway (DUKE) terhadap penduduk di sepanjang Jalan Khalsa. Kedua-dua kes ini menunjukkan bahawa Lembaga Lebuh Raya (LLM) melaksanakan projek lebuh raya dengan cara yang amat tidak mesra rakyat di samping langsung tidak peduli dengan garispanduan perlaksanaan projek jalanraya yang ditetapkan oleh LLM dan Jabatan Alam Sekitar sendiri.
Dari segi laporan EIA, laporan itu menyatakan bahawa lebuhraya bertingkat KL- Putarajaya mempunyai jarak sebanyak 20 – 50 meter “set back” daripada bangunan di sepanjang lebuhraya tersebut, tetapi kesalnya, laporan EIA itu tidak menyentuh langsung tentang reaksi dan impak sosial penduduk terhadap “set back” sebanyak 2.3 meter bagi rumah teres di Jalan 2/149 di Sri Petaling. Macam manakah LLM boleh meluluskan satu projek lebuh raya yang melanggari “set back” yang ditentukan oleh jabatan mereka sendiri? Apabila isu masalah jarak 2.3 meter di antara lebuh raya bertingkat dengan belakang rumah teres berkenaan dibangkitkan oleh penduduk dan wakil rakyat, apa yang kita lihat ialah pertelingkahan di antara DBKL dengan LLM, di mana kedua-dua pihak menyalahi di antara satu sama lain. Penduduk di Sri Petaling dan saya tidak kira siapa betul dan siapa salah, yang pentingnya ialah kepentingan pembeli rumah dan penduduk yang terlibat harus dipertahankan oleh kerajaan.
Datuk Pengerusi, penduduk di kawasan yang terlibat ini dan saya tidak membantah pembinaan jalanraya dan lebuh raya, tetapi isunya, apabila kerajaan ingin membina lebih lebuh raya, khususnya lebuh raya bertingkat, kerajaan juga harus mengambil kira reaksi dan impak sosial terhadap penduduk di kawasan terlibat. Sehubungan dengan ini, saya ingin tanya, apakah rancangan kerajaan terhadap rangkaian pengangkutan di Lembah Klang? Apakah pembinaan lebuh raya bertol ini berada dalam Pelan Induk Kuala Lumpur? Apakah masalah yang wujud di kawasan perumahan Sri Petaling dan Jalan Khalsa ini menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya tidak mempunyai pelan yang menyeluruh terhadap rangkaian jalanraya dan sistem pengangkutan di Lembah Klang, dan juga kekurangan koordinasi di antara agensi kerajaan yang terlibat dalam kelulusan projek lebuh raya, iaitu DBKL dan LLM? Macam manakah kerajaan akan membetulkan masalah kekurangan koordinasi ini dan mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku lagi?
Datuk Pengerusi, memandangkan dinding di rumah teres di kedua-dua belah Lebuh Raya KL – Putrajaya telahpun retak dan pakar dari IKRAM juga telah menjalankan siasatan terhadap keretakan dinding, saya ingin tanya apakah laporan IKRAM terhadap keretakan ini? Saya ingin merayu sekali lagi kepada Kementerian Kerja Raya supaya mengambil alih rumah teres di Jalan 2/149 di Sri Petaling dan rumah bangalo di Jalan Khalsa di Kuala Lumpur dengan harga pasaran demi memberi keadilan kepada para pembeli rumah dan tuanpunya rumah, kerana para penduduk ini langsung tidak menjangka bahawa lebuh raya bertingkat akan dibina begitu dekat dengan rumah mereka. Jadi kerajaan hanya dilihat menjalankan tugas dengan adil sekiranya tuanpunya rumah ini diberitahu pada saat mereka menempah rumah berkenaan dengan rancangan kerajaan untuk membina lebuhraya berdekatan dengan rumah mereka. Sekiranya kerajaan sanggup membayar pampasan sebanyak RM38 billion kepada syarikat konsesi lebuh raya kerana kegagalan mematuhi perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat konsesi, kenapakah kerajaan tidak sanggup mengambil alih rumah teres di Jalan 2/149 di Sri Petaling yang bernilai lebih kurang RM30 juta sahaja? Sekiranya kerajaan mengambil alih rumah teres yang terlibat, ia hanya meningkatkan kos pembinaan lebuh raya daripada RM1.3 billion kepada RM1.33 bilion sahaja, masih kurang daripada pampasan sebanyak RM 38 billion yang dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi.