Equity of Bumiputera
Friday, 21-10-2005Parliament Speech Part II
Ucapan YB Teresa Kok di Dewan Rakyat Dalam Perbahasan Bajet Pada 13 Oktober 2005
Ekuiti Bumiputera
Datuk yang diPertua, saya ingin tanya tentang penerusan Dasar Ekonomi Baru yang dilaung-laungkan oleh Pemuda UMNO dalam Perhimpunan UMNO beberapa bulan lepas. Masyarakat bukan Melayu menanya-nanya tentang kenyataan bahawa kaum Bumiputera masih belum mencapai ekuiti 30% yang merupakan matlamat Dasar Ekonomi Baru. Soalan sekarang adalah, kenapakah UMNO selalu berkata ekuiti Bumiputera masih kurang daripada 30% sejak DEB dilaksanakan dalam tahun 1970? Apakah ini kerana masalah kerajaan, ataupun masalah kaum Bumiputera ataupun kerana manipulasi dalam angka statistik?
Di sini saya ingin bangkitkan jawapan yang saya terima daripada Menteri Kewangan mengenai senarai 20 syarikat yang paling besar nilai pasaran dan pecahan pegangan saham mengikut kaum bagi syarikat-syarikat tersebut pada 26 September 2005. Saya merasa amat hairan di mana jawapan yang saya terima adalah berbeza daripada apa yang disiarkan dalam media, di mana jawapan yang diberi oleh kementerian kewangan kepada media mempunyai kolum “Khazanah Holdings” manakala peratusan saham yang dipegang oleh Khazanah Holdings telahpun dicampur ke dalam pegangan saham kaum bukan bumiputera dalam jawapan kepada saya. Ini menjadikan sesetengah syarikat ini menunjukkan pegangan saham kaum bukan bumiputera yang tinggi, misalnya dalam syarikat Telekom Malaysia Berhad, pegangan bukan Bumiputera dalam jawapan saya ialah sebanyak 59.32% tetapi dalam jawapan yang disiarkan dalam suratkhabar, pegangan saham oleh kaum bumiputera di Telekom Malaysia ialah 24.12% manakala pegangan saham oleh Khazanah Holdings ialah 35.2%. Walaupun saya telah menarik balik usul yang rujuk Timbalan Menteri Kewangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, tetapi saya ingin tanya, apakah ini cara kerajaan memanipulasi angka ekuiti dalam statitstik sehingga kaum bumiputera selalunya kelihatan gagal mencapai matlamat ekuiti 30%?
Sebenarnya, sekiranya kita meneliti jawapan yang diberi oleh pihak Kementerian Kewangan mengenai pecahan equiti di 20 syarikat tersenarai di Bursa Saham, saya mendapati kaum Bumiputera mencapai 33%, kaum Bukan Bumiputera mencapai 30%, orang asing mempunyai 25% manakala Khazanah Holdings memegang 12%. Memandangkan pengiraan kerajaan selalu mencampur pegangan saham oleh syarikat kepunyaan kerajaan sebagai pegangan saham kaum Bumiputera, maka kaum Bumiputera pun memegang 45% equiti dalam 20 syarikat yang terbesar di Bursa Saham Malaysia. Ini bermaksud kaum Bumiputera sebenarnya telah mencapai matlamat asal Dasar Ekonomi Baru dan kerajaan tidak patut meneruskan tempoh perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru tetapi harus mengamalkan dasar yang adil dan saksama terhadap semua kaum, dan kerajaan sepatutnya mengikut seruan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir yang berkali-kali menyeru kaum Melayu untuk membuangkan tongkat demi menjadi lebih efficient, kompetitif untuk menghadapi cabaran globalisasi.
Jadi, saya merasa amat kesal untuk melihat bajet 2006 memberi penekanan yang kuat kepada kaum Bumiputera, dan pelbagai projek pembangunan hanya diberi kepada kontraktor Bumiputera sahaja, tetapi bukan diberi berdasarkan merit syarikat kontraktor, dan kerajaan kelihatan lupa tentang keperluan dan kebajikan kaum bukan Bumiputera. Bukankah dasar yang berunsur diskriminasi terhadap kaum bukan Bumiputera telahpun bercanggah dengan prinsip Islam Hadhari?